Photobucket

Tuesday, March 29, 2011

Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W

Assalamualaikum

Pesanan Terakhir Rasulullah S.A.W (Isi Khutbah terakhir rasulullah SAW)
Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 
9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan 
khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir 
Rasulullah SAW itu ialah:
 
 

"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak 
mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. 
Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada 
orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini".
 
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, 
anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta 
yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu 
sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa 
sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan 
di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan 
yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang".
 
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus 
asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah 
supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil".
 
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga 
mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka 
ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana
kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah 
terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang
setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan 
orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina". 

"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, 
dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat 
dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah 
bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah 
sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa 
dan beramal saleh".
 
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggung
jawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar 
jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku".
 
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan 
tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan 
fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku 
tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan 
mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. 
Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku". 
 
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang 
lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus 
mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu 
kepada hamba-hamba-Mu."
 
sila klik: http://www.terengganukini.net/v2/index.php

No comments:

Post a Comment